ISU

 

SPCAAM: Perlindungan Sosial Masih Jauh Dari Realiti

Oleh Dr G Manimaran

Pada 2 Mac 2022, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mendedahkan sejumlah 2.6 juta pencarum hanya mempunyai simpanan RM1,000 dan ke bawah setakat Disember lalu. Ia adalah peningkatan sebanyak 86 peratus berbanding 1.4 juta pencarum pada April 2020. Malah, menurut beliau, situasi itu telah menyebabkan mereka hanya mempunyai RM42 sebulan untuk berbelanja dalam tempoh 20 tahun selepas bersara.

Ini adalah salah satu fakta yang perlu kita terima hari ini. Ia menjadi lebih teruk selepas dipukul oleh pandemik Covid-19 sepanjang dua tahun yang lalu.

Apa yang dikongsi oleh KWSP hanyalah satu daripada berpuluh-puluh isu yang mempengaruhi pekerja negara, terutamanya mereka yang merupakan pencarumnya.

Walaupun negara sudah berusia lebih daripada enam dekad, polemik tentang keperluan untuk perlindungan sosial yang komprehensif bagi setiap pekerja terus kedengaran. Perlindungan ini menyentuh pelbagai aspek kehidupan pekerja. Kita tidak dapat menafikan bahawa pekerja, walaupun tidak semua, adalah pencarum kepada pelbagai skim yang telah ditubuhkan, iaitu dana simpanan persaraan pekerja, skim keselamatan sosial pekerja serta caruman untuk membangunkan kemahiran pekerja.

Saban hari ini kita juga sering mendengar keluhan, rungutan dan keperluan untuk perlindungan sosial yang lebih baik. Perkara ini bukan sahaja dibangkitkan oleh pekerja-pekerja tempatan, malah disuarakan oleh pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan melibatkan pekerja-pekerja asing.

Bagi kita, tidak kira sama ada pekerja tempatan mahupun dari pekerja asing yang berdokumen, perlu disediakan perlindungan sosial yang berkualiti. Setiap pekerja merupakan aset kepada negara dan juga pembangunan ekonomi.

Setiap hasil pembangunan negara wajar diterjemahkan dalam bentuk perlindungan sosial yang relevan dan membina agar setiap pekerja dan anggota keluarga mereka menikmati manfaat yang sepenuhnya sepanjang masa. Itu yang kita mahukan. Malah, itulah realiti yang sebenar pada hari ini.

Tidak boleh ada mana-mana pekerja yang berhadapan dengan diskriminasi atau dinafikan hak mereka untuk menikmati perlindungan sosial yang baik.

Sistem perlindungan sosial membantu setiap individu dan keluarga, terutamanya golongan miskin dan terdedah kepada apa jua risiko, menghadapi krisis dan kejutan, mencari pekerjaan, meningkatkan produktiviti, melabur dalam kesihatan dan pendidikan anak-anak mereka, dan melindungi penduduk yang semakin tua. Selain itu kemampuan untuk memilik kemudahan perumahan dan kesihatan juga sebahagian daripada keperluan perlindungan sosial yang menyeluruh.

Persoalan yang sering timbul adalah siapa yang harus dan bertanggungjawab dalam memastikan pekerja ada perlindungan sosial yang lebih baik? Ia memberi tumpuan kepada pekerjaan, terutamanya agenda kerja yang baik, yang memperluaskan hak kepada pekerja tidak formal serta mereka yang bekerja secara formal.

Secara umum Perlindungan Sosial terdiri daripada pelbagai aspek kehidupan manusia. Ini termasuklah Bantuan Sosial, Insurans Sosial, perkhidmatan penjagaan sosial bagi mereka yang menghadapi risiko sosial seperti keganasan, penderaan, eksploitasi, diskriminasi dan pengecualian sosial, Program Pasaran Buruh. Bantuan Sosial dan Insurans Sosial bersama-sama membentuk 'keselamatan sosial', istilah yang sering digunakan oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dan agensi atau badan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang lain secara bergantian dengan perlindungan sosial.

Di Malaysia, meskipun para pekerja disediakan dengan sejumlah perlindungan sosial kepada para pencarum, tetapi kita perlu proaktif dalam melihat isu ini secara holistik dan memperluaskan skopnya agar segala isu yang dibangkitkan selama ini, oleh pelbagai pihak, termasuk kesatuan sekerja, diletakkan noktah.

Kehidupan yang kondusif rakyat khususnya pekerja, sama ada ketika masih bekerja atau selepas sudah lagi tidak bekerja, perlu disediakan. Dan, ia perlu bermula sekarang.

Sinaran itu masih jauh dari realiti. SPCAAM di sini untuk merealisasikan harapan itu.

 

Definisi Perlindungan Sosial

Pusat Dasar Antarabangsa Bagi Pertumbuhan Inklusif (IPC-IG)

Perlindungan sosial terdiri daripada satu set tindakan yang dibiayai oleh kerajaan yang akan:

  • menyokong individu dan keluarga dalam menangani kelemahan sepanjang kitaran hayat mereka.
  • membantu, terutamanya golongan miskin dan terdedah (kepada risiko) supaya mempunyai daya tahan untuk bertindak balas terhadap krisis dan kejutan, termasuk risiko sosial-persekitaran; dan
  • memihak kepada kewujudan (perlindungan) sosial dan menyokong keluarga.

 

Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO)

Perlindungan sosial, atau keselamatan sosial, adalah hak asasi manusia dan ditakrifkan sebagai set dasar dan program yang direka untuk mengurangkan dan mencegah kemiskinan dan kelemahan sepanjang kitaran hayat. Perlindungan sosial termasuklah faedah untuk kanak-kanak dan keluarga, bersalin, pengangguran, kecederaan pekerjaan, penyakit, usia tua, hilang upaya, mangsa terselamat, serta perlindungan kesihatan. Sistem perlindungan sosial menangani semua bidang dasar ini dengan gabungan skim sumbangan.

 

Kumpulan Bank Dunia

Perlindungan sosial dan sistem buruh, dasar dan program membantu individu dan masyarakat mengurus risiko dan turun naik serta melindungi mereka daripada kemiskinan dan kemelaratan – melalui instrumen yang meningkatkan daya tahan, ekuiti dan peluang.

 

Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF)

set dasar dan program yang bertujuan untuk mencegah atau melindungi semua orang daripada kemiskinan, kelemahan dan pengecualian sosial sepanjang hayat mereka, dengan penekanan khusus terhadap kumpulan yang terdedah.

 

Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO)

Perlindungan sosial terdiri daripada satu set dasar dan program yang menangani kelemahan ekonomi, alam sekitar dan sosial terhadap ketiadaan makanan dan kemiskinan dengan melindungi dan mempromosikan mata pencarian.

 

Bank Pembangunan Asia (ADB)

Perlindungan sosial ditakrifkan sebagai satu set dasar dan program yang direka untuk mengurangkan kemiskinan dan kelemahan dengan mempromosikan pasaran buruh yang cekap, mengurangkan pendedahan orang ramai kepada risiko, dan meningkatkan keupayaan mereka untuk melindungi diri dari bahaya dan gangguan/kehilangan pendapatan.

Perlindungan sosial terdiri daripada lima elemen utama:

  • pasaran buruh.
  • insurans sosial.
  • bantuan sosial.
  • skim mikro dan berasaskan kawasan untuk melindungi masyarakat.

 

Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP)

set dasar dan instrumen milik negara yang menyediakan sokongan pendapatan dan memudahkan akses kepada barangan dan perkhidmatan oleh semua isi rumah dan individu sekurang-kurangnya pada tahap yang diterima secara minimum, untuk melindungi mereka dari kekurangan dan pengecualian sosial, terutamanya semasa tempoh pendapatan tidak mencukupi, ketidakupayaan atau ketidakmampuan untuk bekerja.

 

Program Makanan Sedunia (WFP)

Perlindungan sosial terdiri daripada dasar dan program yang direka bentuk untuk melindungi orang ramai dari kejutan dan tekanan sepanjang hidup mereka. Ia boleh termasuk jaring keselamatan, skim insurans sosial, peraturan pasaran buruh atau memudahkan akses kepada perkhidmatan penting. Biasanya mereka menyasarkan kumpulan miskin, terpinggir atau terdedah. Perlindungan sosial adalah tanggungjawab kerajaan, dan komponen berbeza dari satu negara ke negara.

 

Suruhanjaya Eropah

Perlindungan sosial boleh ditakrifkan secara meluas (...) sebagai dasar dan tindakan yang meningkatkan kapasiti semua orang, tetapi terutamanya kumpulan miskin dan terdedah, untuk melepaskan diri dari kemiskinan, atau mengelak dari menjadi miskin, dan menguruskan risiko dan kejutan dengan lebih baik dan bertujuan menyediakan tahap keselamatan sosial yang lebih tinggi melalui jaminan pendapatan dan akses kepada perkhidmatan penting (khususnya, kesihatan dan pendidikan) sepanjang tempoh aktif dan tidak aktif serta tempoh keperluan sepanjang.

 

Sumber Definisi: https://GSDRC.ORG/TOPIC-GUIDES/SOCIAL-PROTECTION/TYPES-OF-SOCIAL-PROTECTION/